Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, menjelang akhir tahun ini, pihaknya akan terlebih dahulu melengkapkan pelaksanaan program tersebut di keseluruhan 20 buah universiti awam (UA) di negara ini.

Jelas beliau, format yang sama seperti di UA akan digunakan di IPTS, IPG dan politeknik.

Tambahnya, setakat ini, lebih 4,000 orang mahasiswa membabitkan 16 buah UA telah mendapat manfaat daripada program itu dengan terbaharu di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

"Kita jangka program ini akan menjadi modul dengan perlaksanaan secara berterusan. Hal demikian kerana, program ini telah memberi impak kepada ahli keluarga berpendapatan rendah," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program Bank Makanan Siswa Unimap di sini hari ini.

Perasmian program berkenaan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan turut dihadiri Naib Canselor Unimap, Prof Ir. Dr. R. Badlishah Ahmad.

Antara universiti awam yang telah melaksanakan program Bank Makanan Siswa ialah kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Kampus Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selain itu, Universiti Malaya (UM); Universiti Malaysia Sabah (UMS); Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

Turut serta Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur; Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dalam pada itu, seramai 150 orang mahasiswa dari Unimap dikenal pasti layak menerima bantuan daripada program ini. - UTUSAN ONLINE