Bunyinya seperti janggal tetapi perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan teknologi dron yang semakin berkembang pada masa kini.

Pada masa ini, rangkaian makanan segera terkemuka, McDonald's Malaysia menunjukkan minat mereka terhadap penggunaan teknologi itu.

Ini dapat dilihat apabila McDonald's menjadi salah satu penaja utama dalam Pertandingan Robot Universiti : Alam Kejuaraan 2019 (Urock 2019).

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Ir. Ts. Dr. Rezuwan Kamaruddin, pertandingan penghantaran makanan menggunakan dron mendapat sambutan menggalakkan pada Urock yang telah bermula sejak 2010.

"Tahun lalu, sebanyak 11 buah pasukan dari tujuh IPT menyertai pertandingan ini tetapi kali ini penyertaan meningkat kepada 16 buah pasukan dari sembilan buah IPT.

 

"Cabaran pada tahun ini adalah dron perlu membawa dan menghantar kotak 'Happy Meal McDonald's' dengan melalui beberapa halangan-halangan yang memerlukan kemahiran tinggi penerbang.

"Kotak makanan ini perlu dihantar dengan dua syarat utama iaitu terpantas bagi menjaga kualiti dan kesegaran selain mesti dalam keadaan tidak berterabur," katanya semasa berucap sempena penutup pertandingan Urock 2019 di Kampus Tetap Unimap di sini, hari ini.

Yang turut hadir Perunding McDonald's Malaysia, Datuk Mohamed Nasir Rakhir dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin.

Penganjuran Urock oleh Unimap dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan McDonalds, adalah bertujuan untuk menjadi medan perkongsian dan teknologi robot antara institut pengajian tinggi (IPT).

Berbanding pertandingan robotik lain, peserta Urock dikehendaki membentangkan penggunaan teknologi robot yang dibangunkan agar semua pihak memperoleh manfaatnya.

Pada penganjuran kali ini, sebanyak 50 buah pasukan dari 15 buah IPT telah bersaing dalam tiga kategori iaitu 'drone', 'legged' dan 'cooperative'. - UTUSAN ONLINE